PRK DUN Pelangai: Calon BN Mesti Menang

KUALA LUMPUR: Meskipun wujud sedikit kecelaruan dalam isu calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, namun pengundi di kawasan itu perlu memenangkan calon Barisan Nasional (BN).

Demikian gesaan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sambil menambah soal siapa yang dicalonkan sebagai calon parti dalam PRK itu tidak penting kerana beliau adalah calon yang mewakili parti.

Untuk rekod, BN akan diwakili oleh Datuk Amizar Abu Adam.

“Dia (Amizar) bertanding atas parti kita, dia bukan bertanding sendiri atas diri dia, calon ini mewakili parti jadi kita sebagai ahli parti mestilah menyokong calon daripada parti kita.

“Siapa sahaja yang dicalonkan tidak penting,yang penting adalah mereka mewakili parti kita, kalau calon kita kalah dalam PRK nanti, bukan calon itu sendiri kalah tetapi seluruh parti akan kalah.

“Imej parti akan tercemar kerana calon itu kalah maknanya ianya merangkumi benda yang besar, bukan setakat individu kalah tapi yang lebih besar kekalahan kepada parti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu 2023, hari ini.

Ismail Sabri, yang juga bekas Perdana Menteri diminta mengulas mengenai kemelut yang melanda PRK DUN Pelangai apabila Pemuda UMNO Bentong, Haslihelmy nekad bertanding atas tiket bebas.

Haslihelmy mendakwa langkah itu sebagai protes kepada pemilihan Amizar sebagai calon BN bagi PRK tersebut.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, BN tidak mempunyai pilihan, selain menang di PRK DUN Pelangai kerana ia melibatkan pengukuhan kedudukan parti itu di DUN Pahang.

“Saya harap PRK DUN Pelangai kita pastikan kemenangan calon kita, kalau tidak akan jadi 16 kerusi DUN di BN, dulu 17-17 sekarang kalau kalah hilang satu kerusi, kita tinggal 16-18 kerusi DUN.

“Maknanya kita kalah dengan PN, 18-16, kalau kita menang kita kembali ke kerusi asal,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau akan turut turun padang bagi berkempen semata-mata untuk memenangkan Amizar.

“Esok saya akan turun kempen, saya kan fokus kepada FELDA,” jelasnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles