Populariti BN-PH Semakin Tenggelam, UMNO Perlu Nilai Kerjasamanya

KUALA LUMPUR: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman semalam membuktikan rakyat tidak menyokong pembentukan kerjasama antara Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).

Hal itu dinyatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil memberi saranan kepada UMNO untuk menilai semula kerjasama dengan PH.

“(Ini) dapat diperhatikan dalam semua PRK sebelum ini.

“Ini adalah suatu amaran berterusan daripada pengundi kepada BN, khususnya Umno,” katanya di Facebook.

PN, melalui PAS menang di PRK Kemaman, apabila calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Adun Rhu Rendang, menumpaskan calon BN, Tan Sri Raja Affandi Raja Mohamed Noor dalam saingan dua penjuru.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memperolehi undi majoriti sebanyak 37,220 undi, iaitu peningkatan hampir 10,000 undi berbanding keputusan PRU15.

Sementara itu Muhyiddin mendakwa PN kini menjadi semakin kuat meskipun gabungan itu menerima tekanan.

“Keputusan PRK Kemaman ini juga mengesahkan populariti kerajaan PH-BN yang semakin merudum.

“Rakyat, khususnya orang Melayu, menolak kerjasama antara kedua-kedua parti ini. Ini petanda bahawa penyokong BN sendiri beralih arah menyokong PAS,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles