‘Belum Bersalah, Apa Nak Malu?’ – Akmal Pertahan Pemimpin UMNO Berdepan Pertuduhan

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO tidak akan berundur dalam mempertahankan pemimpin parti yang berdepan pertuduhan mahkamah, dengan Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan pertuduhan tidak boleh dianggap sebagai bukti seseorang itu bersalah.

Akmal berkata tiada alasan untuk ahli UMNO berasa malu atau takut mempertahankan pemimpin parti selagi mereka belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.

Beliau mengambil contoh kes bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang baru-baru ini didakwa atas pertuduhan berkaitan salah guna kuasa.

“Dah didakwa ini dah bersalah ke belum? Apa yang kita nak malu? Pertahankan pemimpin kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, hari inu.

Kenyataan itu dibuat ketika UMNO berdepan perhatian terhadap beberapa pemimpinnya yang terseret dalam kes mahkamah, termasuk Abdul Azeez, selain seorang bekas menteri yang dipercayai daripada parti itu yang dijangka didakwa Isnin ini atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

Akmal turut membandingkan pendirian UMNO dengan tindakan penyokong Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Presiden PKR itu pernah dipenjarakan.

Menurutnya, penyokong Anwar ketika itu tidak pernah menjadikan hukuman penjara sebagai alasan untuk memalukan atau meninggalkan pemimpin mereka.

“Mereka tak pernah rasa malu. Berarak lagi nak buat pembebasan Anwar, buat papan iklan besar-besar. Ada mereka malu? Tak,” katanya.

Beliau pada masa sama mempertahankan pendirian UMNO berhubung permohonan pengampunan diraja kedua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam kes SRC International.

Akmal berkata UMNO sebelum ini tidak pernah mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan kepada Anwar pada 2018.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keputusan berkaitan pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan tidak sepatutnya dipersoalkan atau dicabar oleh mana-mana pihak.

Malah, Akmal memberi amaran Pemuda UMNO bersedia turun ke jalanan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan atau mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Ini janji Pemuda. Kami akan berhimpun dan lawan habis-habisan,” katanya.

Pendirian itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa Pemuda UMNO mahu isu kuasa pengampunan diraja tidak dijadikan medan untuk mempertikaikan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, sebelum ini mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat pada pagi esok.

Perkembangan itu menyusul selepas sumber memaklumkan bahawa permohonan pengampunan Najib dijangka menjadi antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Najib kini menjalani hukuman penjara susulan sabitan dalam kes SRC International, selain dikenakan hukuman penjara tambahan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

BBerkaitan

Latest articles