SHAH ALAM: Semangat perjuangan, pengorbanan dan kecekalan yang dipamerkan oleh atlet-atlet para dalam Temasa Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Selangor 2026 disifatkan sebagai sesuatu yang amat luar biasa dan mengagumkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kekurangan yang ada pada setiap atlet istimewa berkenaan tidak pernah menjadi penghalang untuk mereka mencipta kejayaan serta mengharumkan nama negeri masing-masing.
Menurut beliau, pengorbanan serta usaha gigih para atlet ini memberi banyak pengajaran dan iktibar tersendiri kepada seluruh masyarakat.
”Semangat mereka memang luar biasa. Perjuangan dan pengorbanan mereka lebih istimewa kerana kekurangan yang ada tidak lagi menjadi penghalang kepada kemahuan dan perjuangan untuk berjaya menempah nama.
”Kita berikan tepukan dan penghormatan kepada semua atlet para, pegawai serta pasukan sokongan yang bertungkus-lumus menjayakan temasya kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Para SUKMA Selangor 2026 di Shah Alam, malam tadi.
Dalam pada itu, Amirudin turut menzahirkan harapan agar barisan atlet istimewa negara dapat meneruskan momentum kecemerlangan ke peringkat lebih tinggi, seterusnya melangkah ke pentas Paralimpik dan bergelar juara dunia.
Ujar beliau, Selangor sentiasa berbangga menjadi tuan rumah yang melahirkan bakat-bakat baharu menerusi penganjuran temasya berkenaan.
”Lahirnya bakat-bakat baharu dan pelapis yang lebih kompetitif ini diharap dapat terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa kelak.
”Walaupun ada kekangan dan cabaran seperti isu jerebu serta perbelanjaan yang terhad, kerajaan negeri tetap berusaha memberikan perkhidmatan, kelayakan dan suasana pertandingan yang terbaik serta adil buat semua,” katanya.
Temasya Para SUKMA Selangor 2026 menyaksikan penyertaan seramai 1,352 atlet dari seluruh negara yang bertanding dalam 10 jenis acara sukan.
Pada majlis berkenaan, bendera kejohanan turut diserahkan secara rasmi kepada negeri Kelantan yang bakal menjadi tuan rumah bagi temasya SUKMA dan Para SUKMA edisi ke-23 pada tahun 2028.










