SHAH ALAM: Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 mencatatkan kejayaan cemerlang apabila menyaksikan lonjakan prestasi luar biasa dengan pusingan 44 rekod kebangsaan berjaya diperbaharui.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Muhammed Taufiq Johari berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding 22 rekod kebangsaan yang dicatatkan pada edisi 2024 di Sarawak.
Menurut beliau, acara di kolam renang menjadi penyumbang terbesar apabila sebanyak 35 rekod kebangsaan berjaya dipecahkan, di samping peningkatan rekod dalam sukan powerlifting dan memanah.
”Edisi 2026 di bumi Selangor ini membuktikan lonjakan prestasi yang luar biasa apabila sejumlah 44 rekod kebangsaan telah dipecahkan oleh atlet-atlet para kita.
”Secara keseluruhannya, rekod temasya turut melonjak daripada 71 rekod pada tahun 2024 kepada 93 rekod baharu pada edisi kali ini. Olahraga sahaja menyaksikan 42 rekod temasya dipecahkan, manakala akuatik mencatatkan 41 rekod temasya baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Para SUKMA Selangor 2026 di Shah Alam, malam tadi.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammed Taufiq menegaskan bahawa temasya Para SUKMA bukan sekadar penganjuran acara sukan semata-mata, sebaliknya merupakan platform penting untuk mencungkil dan menggilap bakat baharu dari peringkat akar umbi.
Jelas beliau, semangat dan kecekalan yang ditunjukkan oleh lebih 1,300 atlet dan 2,000 ahli kontinjen sepanjang enam hari temasya berlangsung wajar dijadikan inspirasi.
”Kekuatan sebenar atlet para tidak diukur dari segi fizikal semata-mata, sebaliknya diukur daripada apa yang boleh diberikan kepada negeri, negara dan masyarakat secara keseluruhannya. Mereka adalah insan yang sangat hebat dan membanggakan.
”Walaupun berdepan kekangan seperti isu jerebu dan cuaca, komitmen bersama telah membuktikan bahawa sukan mampu menyatupadukan kita semua,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor atas penganjuran temasya yang cemerlang serta mengucapkan selamat maju jaya kepada negeri Kelantan yang bakal menjadi tuan rumah bagi edisi SUKMA dan Para SUKMA yang seterusnya.










