Polis Sahkan Lebam, Luka Lama Dan Baru Di Badan Mangsa Dera

Terdapat banyak kesan lebam serta beberapa kecederaan lama dan baru di badan kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman turut memaklumkan terdapat kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala yang dipercayai baru berlaku ke atas mangsa.

Tambahnya polis masih belum dapat mengesahkan punca kematian mangsa sama ada disebabkan didera atau akibat lemas seperti yang didakwa sebelum ini.

Mohd Sukri berkata, laporan hasil bedah siasat ke atas mangsa juga belum dapat memastikan punca kematian kerana terdapat beberapa spesimen yang perlu dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

“Masih terlalu awal untuk mengesahkan punca kematian, cuma kita boleh sahkan memang terdapat kecederaan terutama sekali di bahagian kepala dan beberapa anggota badan terutama di bahagian belakang mangsa.

“Kami percaya kecederaan itu akibat dipukul dengan objek tumpul, namun kita masih melakukan siasatan rapi berkaitan perkara itu sama ada kecederaan itu disebabkan mangsa terjatuh atau dipukul oleh mana-mana individu,” katanya yang ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, malam tadi.

Malah beberapa spesimen seperti paru-paru, jantung dan hati sudah dihantar ke makmal untuk ujian, tetapi tidak dapat dipastikan bila keputusan mengenainya akan diperoleh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika pihak polis tiba di rumah mangsa, Jumaat lalu, mayat sudah dikeluarkan daripada tong berisi air yang terletak di dalam bilik air di tingkat bawah kediaman berkenaan.

“Ketika polis tiba, mangsa baru sahaja meninggal dunia kira-kira tiga jam sekali gus menepis dakwan segelintir nitizen yang mendakwa mangsa sudah meninggal dunia tiga hari,” katanya.

Mohd Sukri juga yakin jenazah mangsa akan diserahkan kepada waris yang sah selewat-lewatnya pagi esok untuk urusan pengebumian.

“Tiga adik-beradik mangsa juga akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Siasatan masih lagi berjalan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles