SHAH ALAM: Polis memberi jaminan siasatan berhubung kematian seekor anjing ketika operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang akan dijalankan secara telus dan profesional, sambil memberi amaran supaya semua pihak berhenti menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan segala bukti serta keterangan sebelum kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi arahan lanjut.
Beliau menegaskan polis komited memastikan siasatan dijalankan secara adil, telus dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
Dalam perkembangan sama, Lim mengesahkan sekumpulan individu berhimpun secara aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada kira-kira jam 10.15 malam semalam bagi mendesak tindakan berhubung insiden berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya memberi ruang kepada proses perundangan yang sedang berlangsung serta tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain memaklumkan siasatan dalaman mendapati tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku sepanjang operasi tangkapan anjing liar pada 29 Julai lalu.
Menurut beliau, insiden yang membawa kepada kematian haiwan itu berlaku apabila operasi terbabit terganggu susulan perebutan oleh individu yang mengaku sebagai pemilik anjing berkenaan ketika anggota penguat kuasa sedang menjalankan tugas.










