Polis Dang Wangi Tahan 15 Individu Dalam Tempoh 24 Jam Susulan Video Tular Bakar Suar Di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR, — Polis Daerah Dang Wangi berjaya menahan 15 individu dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan berhubung video tular membabitkan sekumpulan individu yang dipercayai mengganggu ketenteraman awam di kawasan Bukit Bintang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata kejadian itu dikesan selepas satu video dimuat naik di platform media sosial Threads pada 18 Mei, memaparkan beberapa individu menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal jenis scrambler.

Beliau berkata video berkenaan turut menunjukkan tindakan membakar suar di atas sebuah kenderaan jenis Ford Raptor di tengah Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang.

“Susulan kejadian itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah menjalankan operasi pada hari sama dan menahan 14 lelaki serta seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun.

Polis turut merampas sebuah Ford Raptor bernombor pendaftaran VDF 717, dua motosikal scrambler serta pakaian dipercayai dipakai suspek semasa kejadian yang tular itu.

ACP Sazalee berkata permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau menegaskan pihak polis memandang serius kejadian seumpama itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan atau penganjuran aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta mengancam keselamatan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles