PN Guna Isu MP Disogok Sokong Anwar Untuk Kempen PRK Kemaman

KUALA LUMPUR: Naratif UMNO tidak lagi ‘laku’ bagi Perikatan Nasional (PN) lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Sebaliknya menurut Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris, ‘perang’ masa kini antara PN dan pihak lawan adalah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu menarik sokongan wakil rakyat Bersatu menyokong kerajaan.

”Peperangan sebenar PN bukan dengan UMNO tetapi dengan PMX (Anwar). Sogokan merata (banyak rasuah) dan tarik ahli Bersatu menyokongnya. Sehingga ada ahli Parlimen mengaku disogok,” katanya.

Justeru katanya beliau mengharap seluruh warga PN perlu bekerja keras untuk jangka masa panjang demi kestabilan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

”Selesai penamaan calon ini, PN perlu persiapkan jangka masa panjang. Jangan mudah disogok sehingga lupa sahabat,” katanya semasa majlis pengumuman calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman malam tadi.

Kestabilan sokongan dalaman PN didakwa mula goyah apabila empat ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Sementara itu, PN juga telah mengumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon bagi PRK Parlimen Kemaman (P040).

Manakala BN telah mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini.

BBerkaitan

Latest articles