KPM Perjelas 11 Langkah Keselamatan Sekolah, Beri Kerjasama Penuh Siasatan PDRM

​KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan murid dan warga sekolah sentiasa terjamin berikutan insiden tragis yang meragut nyawa seorang murid perempuan tingkatan empat di Yong Peng, Johor.

​Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian tidak akan mendahului siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun proses perundangan, namun bersedia memberikan kerjasama penuh serta menyerahkan apa-apa maklumat yang diperlukan pihak berkuasa.

​Menurut beliau, berdasarkan perkembangan terkini, pihak polis sedang menjalankan siasatan dan beberapa orang murid telah ditahan bagi membantu siasatan, dengan seorang daripadanya turut direman.

​”Apa yang PDRM siasat, kita serahkan kepada PDRM. Apa yang di bawah KPM, kita akan jawab pada hari ini.

“Keselamatan sekolah, kamera litar tertutup (CCTV), kawalan keselamatan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), disiplin, sokongan psikososial serta perkara berkaitan pengurusan sekolah adalah di bawah tanggungjawab kita,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

​Beliau turut menepis dakwaan yang tidak benar mengenai insiden berkenaan dan meminta pelbagai pihak agar berhati-hati sebelum berkongsi maklumat.

​”Ada dakwaan mengatakan mangsa diseret dari surau ke dewan tempat kejadian serta dakwaan cermin pecah di surau, ini semua tidak benar. Jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” tegasnya.

​Mengulas lanjut mengenai usaha memperkasa keselamatan di peringkat sekolah, Fadhlina memperincikan pelaksanaan 11 langkah tambahan yang telah mula dilaksanakan secara berperingkat sejak diumumkan pada Oktober 2025.

“​Pertama, peruntukan pemasangan CCTV fasa satu sebanyak RM3 juta melibatkan 200 sekolah berasrama telah siap sepenuhnya pada November 2025. Fasa kedua membabitkan RM5 juta bagi 333 buah sekolah berasrama siap sepenuhnya pada September 2026, manakala fasa ketiga memperuntukkan RM15 juta bagi 1,000 buah sekolah pada tahun 2027.

“​Kedua, penambahan sebanyak 5,107 jawatan kaunselor baharu telah diperoleh.

“​Ketiga, pelantikan pembantu warden asrama menerusi perkhidmatan MySTEP seramai 300 orang bagi mengurangkan beban warden bermula 1 April 2026.

“​Keempat, pemantauan sekolah oleh PDRM menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang dilaksanakan secara bersama.

“​Kelima, latihan krisis untuk guru melibatkan seramai 400 orang warden yang diberikan latihan bantuan awal psikologi (Psychological First Aid). Modul latihan pencegahan bunuh diri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dibangunkan untuk pendedahan kepada semua guru, di samping pelancaran Garis Panduan Perkhidmatan Postvensi KKM bagi sokongan psikososial awal dan kerjasama merentas agensi.

“​Keenam, penjelasaan kuasa yang lebih jelas bagi menangani kes disiplin murid diberikan kepada pengetua, guru besar dan jawatankuasa disiplin.

“​Ketujuh, penurunan kuasa disiplin kepada guru, di mana semua guru adalah guru disiplin dan sebarang tindakan mengikut peraturan serta tatacara yang ditetapkan.

“​Kelapan, penambahbaikan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) kepada Sistem Salah Laku Disiplin Murid bagi memberi fokus kepada pencegahan salah laku.

“​Kesembilan, pemerkasaan advokasi suara murid menerusi sesi dialog dan kotak suara murid di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa 3K, Majlis Pemimpin Murid daerah, Jawatankuasa Tingkatan Enam dan Student Leaders Board.

“​Kesepuluh, pengenalan dan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah di semua sekolah.

“​Kesebelas, pelaksanaan saringan Minda Sihat dipertingkatkan kepada dua kali setahun berbanding sekali setahun sebelum ini, melibatkan murid Tahun Four hingga Tingkatan Enam, serta saringan empat kali setahun bagi murid yang menunjukkan tanda awal masalah kesihatan mental,” jelasnya.

​Mengenai isu hukuman rotan di sekolah, Fadhlina memperjelaskan bahawa hukuman berkenaan tidak pernah dimansuhkan, namun ia tertakluk kepada peraturan sedia ada.

​”Hukuman rotan di sekolah tidak pernah dimansuhkan. Peraturan sedia ada membenarkan hukuman rotan terhadap murid lelaki bagi kesalahan tertentu dan hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa secara nyata.

“Ia juga tertakluk kepada tatacara tertentu, tidak boleh dilakukan sesuka hati atau disebabkan marah,” jelasnya.

​Dalam nada sebak, beliau menegaskan bahawa keselamatan anak-anak di sekolah merupakan amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada KPM.

​”Saya bukan berada di sini sebagai Menteri Pendidikan sahaja, saya juga seorang ibu. Anak-anak saya melalui sistem persekolahan yang sama.

“Setiap pagi apabila kita menghantar anak ke sekolah, kita melepaskan mereka dengan kepercayaan yang sangat besar untuk mereka belajar, membesar dan pulang dalam keadaan selamat.

“Kepercayaan itu adalah amanah besar kepada KPM dan kita tidak akan lari daripada tanggungjawab itu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles