Kejayaan Liverpool merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun turut diraikan oleh penyokong The Reds di Malaysia.
Tidak terkecuali, pemimpin nombor satu negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan penyandang juara Eropah itu menamatkan penantian 30 tahun memenangi kejuaraan liga.
“Tahniah buat semua penyokong Liverpool FC di Malaysia,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya sebentar tadi.
Hantaran Muhyiddin itu disertakan dengan poster ucapan tahniah berwarna merah yang menampilkan beberapa wajah pemain Liverpool seperti Mohamed Salah, Sadio Mane dan Jordan Henderson.
Terdahulu, penantian Liverpool bagi bergelar juara liga berakhir tanpa perlu menyepak bola selepas Manchester City tewas 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge yang menyaksikan anak buah Jurgen Klopp mendahului 23 mata dengan berbaki tujuh perlawanan.
Gelaran pertama liga dalam tempoh tiga dekad menjadi kemuncak kebangkitan Liverpool dalam bola sepak Inggeris selepas kehadiran Klopp pada 2015 dengan kelab bergelut menghuni kelompok empat teratas.
Malah, Klopp cuba mengawal emosi ketika dia mendedikasikan kejayaan kelab itu muncul juara EPL selepas 30 tahun kepada penyokong mereka.
Klopp mengelap air matanya ketika ditemubual bersama stesyen televisyen beberapa minit selepas Chelsea melakar kemenangan 2-1 ke atas Manchester City, awal pagi tadi sekali gus membolehkan The Reds mengesahkan kejuaraan liga.