KUALA LUMPUR: Kiasan sinis mengenai situasi “order barang lain, dapat barang lain” mencuri perhatian perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
Kiasan itu dilontarkan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Mohd Isam yang juga Ahli Parlimen Tampin dipercayai merujuk isu berkaitan kepimpinan dan pelantikan pentadbiran negeri ketika membawa suara UMNO Negeri Sembilan dalam perhimpunan berkenaan.
Menurutnya, soal pucuk pimpinan serta kedudukan dalam pentadbiran negeri perlu dilihat sebagai ketentuan rezeki masing-masing, selain menuntut kesabaran dan kematangan dalam kalangan pemimpin parti.
“Order barang lain, dapat barang lain. Saya percaya kita semua setuju pucuk pangkal hari ini sebenarnya adalah soal rezeki masing-masing.
“Terima kasih kepada Datuk Seri Jalal (Jalaluddin Alias) yang sentiasa tenang, bersabar serta meletakkan kepentingan parti melebihi segalanya,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Isam kemudian menghidupkan suasana perbahasan apabila menyambung kiasannya dengan analogi pembelian barangan yang tidak menepati pesanan.
“Kalau kita order barang, barang tak betul, kita laporkanlah kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.
“Kita boleh tukar, kita boleh dapat refund balik,” katanya secara berseloroh, yang disambut gelak tawa dan tepukan perwakilan.
Dalam pada itu, Mohd Isam menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Kerajaan Negeri Sembilan, yang disifatkannya sebagai hasil muafakat serta keputusan tepat kepimpinan parti.
Beliau pada masa sama mengingatkan wakil rakyat dan pimpinan kerajaan negeri supaya tidak hanyut dengan kemenangan, sebaliknya terus merendah diri serta mendekati akar umbi.
“Jangan sekali-kali melupakan teras perjuangan UMNO untuk terus mendampingi dan memperjuangkan nasib rakyat.
“Perlu sentiasa beringat, jangan ada lagak bongkak, sombong di dalam diri kerana yang menaikkan kamu dan memenangkan kamu adalah parti. Tanpa parti, mana mungkin semua ini dapat dicapai bersama,” katanya tegas.
Mohd Isam turut meminta kepimpinan negeri memberi ruang lebih besar kepada Wanita UMNO serta menghargai sumbangan jentera parti di peringkat cawangan dan bahagian yang bekerja keras memastikan kemenangan BN pada pilihan raya lalu.










