Sekretariat Taat Setia Gesa Polis Siasat Laporan MB Negeri Sembilan

SEREMBAN: Sekretariat Taat Setia Sokongan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Pengerusinya, Datuk Sri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin, berkata siasatan itu penting bagi memastikan sebarang isu yang menyentuh institusi Diraja serta keharmonian Negeri Sembilan ditangani secara telus, profesional dan tegas.

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat susulan kenyataan media Menteri Besar pada 8 September lalu berkaitan isu yang melibatkan institusi Diraja dan keharmonian negeri.

“Sekretariat mendesak Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzaffny Ahmad supaya siasatan segera dijalankan terhadap laporan polis yang telah dibuat oleh Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, sekretariat turut merakamkan penghargaan terhadap pendirian serta kesetiaan yang ditunjukkan Ismail terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sekretariat menegaskan keyakinannya bahawa PDRM akan melaksanakan siasatan secara adil dan profesional bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba mempermainkan atau mencetuskan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi Diraja dan adat istiadat Negeri Sembilan.

“Sekretariat akan terus berdiri teguh bersama Menteri Besar dan seluruh rakyat Negeri Sembilan dalam mempertahankan kedaulatan institusi Diraja di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz,” katanya.

Sekretariat turut menegaskan sokongan penuh dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz serta kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Ismail.

Pendekatan itu, katanya, selaras dengan usaha memastikan kestabilan, keharmonian dan kedaulatan institusi Diraja negeri terus dipelihara.

BBerkaitan

Latest articles