KUALA LUMPUR: Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 disifatkan sebagai gambaran jelas bahawa Barisan Nasional (BN) sedang mempersiapkan diri untuk kembali mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, mesej yang disampaikan Zahid bukan sekadar amanat kepada akar umbi parti, sebaliknya membawa visi seorang ‘prime minister in waiting’ atau Perdana Menteri yang sedang menanti untuk memimpin negara.
Menurutnya, ucapan itu turut memperlihatkan hala tuju BN sebagai sebuah ‘government in waiting’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Rumusan daripada ucapan itu, ia adalah ucapan seorang ‘prime minister in waiting’ dan ucapan sebuah ‘government in waiting’,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri PAU 2026, hari ini.
Dalam ucapan dasarnya sebelum itu, Zahid sekali lagi mendesak supaya PRU16 diadakan lebih awal, sambil menyatakan keyakinan UMNO mampu mencetuskan ‘gelombang biru’ bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Zahid menegaskan gelombang berkenaan tidak seharusnya dilihat sekadar usaha untuk mengekalkan UMNO sebagai parti pelengkap dalam kerajaan, sebaliknya bertujuan mengembalikan mandat kepada BN untuk menerajui pentadbiran negara.










