KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat menjalani pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut, hari ini.
Pasukan perubatannya memaklumkan prosedur berkenaan berjalan lancar dan dikendalikan oleh sekumpulan pakar perubatan.
Ketua Pasukan Perubatan, Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, Anwar kini menjalani sesi fisioterapi selain terus dipantau pasukan pakar bagi memastikan proses pemulihan berlangsung dengan baik.
“Beliau kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembedahan itu dilakukan ketika Anwar menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-79 hari ini.
Perdana Menteri sebelum ini mempunyai sejarah masalah berkaitan bahu dan belakang, termasuk pernah menerima rawatan di hospital akibat masalah berkenaan pada 2018.
Pada November tahun lalu, beliau turut membatalkan lawatan kerja ke Pahang selepas mengalami sakit belakang yang menjejaskan pergerakannya.
Bagaimanapun, Anwar disahkan berada dalam keadaan sihat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan rutin di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Januari lalu.










