PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk mengadakan rundingan semula bersama Kerajaan Singapura berhubungan kontroversi membabitkan Pulau Batu Puteh.
Anwar berkata, langkah itu perlu dilakukan segera agar tiada apa-apa masalah berbangkit dari sudut hubungan dengan Singapura.
“Kita minta Peguam Negara (Tan Sri Indrus Harun) bagi penjelasan berkenaan kontroversi tuntutan Batu Puteh yang sekarang telah dipindahkan ke Singapura oleh ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa).
“Kerajaan juga meminta supaya perkara itu diteliti semula dikaji supaya ada rundingan yang lebih bermakna dan segera dengan Singapura supaya tidak ada masalah berbangkit dari sudut hubungan dua negara sahabat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.
Pada Oktober, perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob, berkata Jemaah Menteri diberitahu kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, terhadap tuntutan kes Batu Puteh.
Ismail berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pasukan petugas khas dalam kes itu bahawa Mahathir mungkin membuat kesilapan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018 melibatkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Katanya, Jemaah Menteri bersetuju meneruskan tindakan perundangan di ICJ untuk kes itu hasil cadangan daripada pasukan petugas khas.