Selangor Juara SUKMA 2026, MB Umum Cuti Peristiwa 1 Sept

​SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengisytiharkan 1 September ini (Selasa) sebagai cuti peristiwa khas bagi meraikan kejayaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 serta pencapaian cemerlang kontinjen negeri itu.

​Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengisytiharan cuti peristiwa berkenaan dibuat sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada seluruh atlet, pegawai, sukarelawan serta ibu bapa yang bertungkus-lumus sepanjang temasya berlangsung.

​Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan SUKMA Ke-22 di sini, pada Isnin malam.

​”Atas prestasi yang luar biasa pada SUKMA 2026 dan sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan dan ibu bapa yang telah membantu sepanjang temasya, saya berbesar hati mengumumkan Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas SUKMA 2026 pada 1 September 2026 iaitu pada hari Selasa depan.

​”Namun begitu, yang bekerja di Putrajaya harus terus pergi bekerja ke Putrajaya, ini pesan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” seloroh beliau mengiringi pengumuman berkenaan.

​Majlis penutupan yang penuh gilang-gemilang itu turut diseri dengan keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

​Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi.

​Mengulas pencapaian kontinjen Selangor, Amirudin berkata, kontinjen ‘Merah Kuning’ berjaya melakar sejarah baharu apabila muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa menerusi 468 acara sukan yang dipertandingkan.

​Menurutnya, rekod kutipan 101 pingat emas itu merupakan jumlah tertinggi yang pernah diraih oleh mana-mana kontinjen sepanjang sejarah penganjuran SUKMA.

​”Selaku Menteri Besar Negeri Selangor, saya tumpang gembira atas prestasi anda yang sungguh membanggakan ini,” katanya.

​Dalam ucapan sama, Amirudin turut mengimbas kembali sejarah penganjuran SUKMA yang kini mencapai tempoh 40 tahun sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 1986 di Stadium Merdeka.

​Ujarnya, konsep penganjuran temasya sukan dwi-tahunan itu dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983.

​Acara penutupan malam Isnin turut menyaksikan penyerahan bendera kejohanan SUKMA kepada kontinjen Kelantan yang bakal bertindak selaku tuan rumah bagi edisi ke-23 pada tahun 2028.

BBerkaitan

Latest articles