PH Terbuka Kerjasama Dengan PN, Bersatu Demi Kestabilan Politik

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) tidak menutup pintu untuk membentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti atau gabungan, termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu, sekiranya langkah itu mampu menjamin kestabilan politik serta memberi manfaat kepada rakyat.

Ahli Majlis Presiden PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebarang bentuk persefahaman politik bagaimanapun perlu berlandaskan prinsip yang jelas dan tidak boleh mengetepikan kepentingan rakyat.

Menurut beliau, PH bersedia mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya ia memenuhi keperluan tersebut.

“Kerjasama dengan mana-mana pihak, bukan sahaja dengan Bersatu dan PN, pun boleh difikirkan kalau akhirnya prinsipnya adalah untuk kestabilan politik dan kebaikan rakyat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor itu menegaskan setakat ini tidak wujud sebarang kerjasama antara PH Selangor dengan Bersatu, selain tiada perbincangan atau keputusan rasmi dibuat berhubung perkara berkenaan.

Amirudin berkata, sebarang cadangan membabitkan kerjasama politik perlu dinilai secara rasional di peringkat kepimpinan pusat dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk tempoh dan keperluan mengadakan pilihan raya.

Katanya, sekiranya terdapat perbincangan mengenai perkara itu di peringkat PH Selangor, ia akan dibawa untuk pertimbangan kepimpinan PH di peringkat pusat.

“Jadi kalau ada perbincangan (pada peringkat PH Selangor), saya akan bawakan ke peringkat pusat,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan PH Selangor tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Bersatu, khususnya dalam konteks politik negeri berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles