PH Pertaruh Rekod Aminuddin Pertahan Negeri Sembilan, Fahmi Yakin Rakyat Pilih Kesinambungan

JEMPOL: Rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sepanjang lapan tahun menerajui Negeri Sembilan bakal menjadi senjata utama Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian kerajaan negeri di bawah kepimpinan Aminuddin membuktikan pentadbiran itu berjaya membawa pelbagai perubahan positif, sekali gus wajar diteruskan demi memastikan kesinambungan pembangunan.

Menurutnya, prestasi cemerlang Menteri Besar itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan kutipan zakat serta pelaksanaan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Bagi PH, fokus kita ialah kejayaan dan keupayaan Menteri Besar (Aminuddin) yang telah melaksanakan banyak perubahan dan peningkatan dari segi ekonomi, kutipan zakat serta pembangunan.

“Saya percaya dengan kestabilan yang beliau bawa, tiada skandal, tiada isu dan tiada masalah sepanjang lapan tahun beliau mentadbir.

“Saya lihat perkara ini perlu diteruskan supaya wujud kesinambungan serta hubungan yang erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Itu akan menjadi antara fokus utama kempen PH sepanjang PRN ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol bagi DUN Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau, hari ini.

Mengulas kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini, Fahmi berkata, perkembangan itu tidak menjejaskan keyakinan PH untuk terus mempertahankan Negeri Sembilan.

Katanya, jentera pilihan raya PH berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dan setakat ini perjalanan kempen berjalan lancar.

“Jentera pilihan raya hadir sedia mempertahankan kerajaan PH di Negeri Sembilan. Saya lihat keadaan terkawal dan saya harap ia kekal sepanjang tempoh dua minggu akan datang.

“Semua pihak yang berkempen sama ada secara fizikal mahupun dalam talian perlu mengelakkan fitnah serta isu berkaitan 3R. Kita harap semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, bagi DUN Serting, calon PH, Yaacob Mahmood akan berdepan Fairuz Isa (PN) dan Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (Bersatu).

Di DUN Palong pula, Zahin Zinal Abidin (PH) bakal dicabar penyandang kerusi itu, Datuk Mustapha Nagoor (BN) serta Rebin Birham (Bersatu).

Pertandingan empat penjuru berlangsung di DUN Jeram Padang membabitkan G. Manivannan (PH), penyandang Datuk Zaidy Abdul Kadir (BN), R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Asli.

Sementara itu, DUN Bahau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya, Teo Kok Seong (PH), dengan Chong Fui Ming (BN).

BBerkaitan

Latest articles