Guru Besar Dipenjara 20 Tahun, 11 Sebatan Kes Pornografi Murid

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 11 sebatan terhadap seorang guru besar selepas mengekalkan sabitan menghasilkan bahan pornografi serta mensabitkannya atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia 12 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuan Anuar Kintan, 59, terhadap sabitan menghasilkan bahan pornografi, selain mengetepikan keputusan pembebasannya daripada satu pertuduhan amang seksual fizikal.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara berasingan dan mengeluarkan waran pemenjaraan supaya tertuduh menjalani hukuman serta-merta.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata keterangan mangsa yang mengenal pasti tertuduh disokong hasil pemeriksaan forensik yang menemukan gambar berkenaan dalam telefon bimbit miliknya.

Mahkamah juga menolak alasan alibi pembelaan yang mendakwa tertuduh berada di rumah ketika kejadian, selepas mendapati keterangan saksi lain menyokong kehadirannya di sekolah bersama mangsa.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan pembebasan tertuduh daripada dua lagi pertuduhan, masing-masing berkaitan amang seksual fizikal dan mengeluarkan kata-kata berunsur seksual kepada mangsa.

Kesalahan itu berlaku di sebuah sekolah di Perak pada Mac dan 3 April 2021. Mahkamah Sesyen pada April 2024 menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan empat sebatan bagi kesalahan menghasilkan bahan pornografi, sebelum Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman itu kepada sembilan tahun dan lapan sebatan pada Ogos tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles