KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, dengan memfailkan permohonan kebenaran memulakan prosiding komital atas dakwaan menghina mahkamah.
Permohonan secara ex parte itu dikemukakan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama empat individu lain, dengan Zulfikar dinamakan sebagai responden tunggal.
Peguam yang mewakili PN, Rafique Rashid Ali, mengesahkan pemfailan permohonan berkenaan.
PN mendakwa RoS bertindak membatalkan pendaftaran gabungan itu ketika permohonan semakan kehakiman dan penangguhan pelaksanaan masih dalam proses mahkamah.
Menurut pemohon, tindakan berkenaan didakwa mendahului keputusan mahkamah, sekali gus berpotensi mengganggu proses keadilan dan menjejaskan keberkesanan semakan kehakiman yang sedang berjalan.
Pengurusan kes secara kamar ditetapkan pada 12 November ini.
Pada 5 Oktober lalu, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar notis RoS bertarikh 23 September yang menggantung aktiviti gabungan itu untuk tempoh tidak ditentukan, serta notis tunjuk sebab sehari lebih awal berhubung kemungkinan pembatalan pendaftarannya.
Pada 13 Oktober, Mahkamah Tinggi membenarkan PN memulakan prosiding semakan kehakiman berkenaan.
Bagaimanapun, RoS membatalkan pendaftaran PN seminggu kemudian, sebelum Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.
Keputusan berkenaan membolehkan PN menggunakan lambangnya sendiri untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.










