KUALA LUMPUR: Sebelum turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kesemua 21 calon Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu melafazkan baiah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang tadi.
Ikrar itu dibuat selepas mereka menerima watikah pencalonan dalam majlis yang berlangsung di Menara Dato Onn, di sini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata semua calon turut menandatangani empat dokumen akujanji bersumpah dan perjanjian dengan parti sebagai sebahagian daripada proses berkenaan.
Menurutnya menerusi hantaran di Facebook, majlis itu turut disertai Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dalam persaingan kali ini, BN menampilkan lapan muka baharu, manakala selebihnya merupakan calon lain yang dipilih untuk mewakili parti.
Lapan muka baharu itu ialah Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (Lendu), Ahmad Norazril Abd Aziz (Rembia), S Nadarajah (Gadek), Datuk Dr Mustafa Musa (Durian Tunggal), Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Ayer Molek), Datuk Azman Abdullah (Serkam) dan Jezlee Pit (Sungai Rambai).
Antara penyandang yang dikekalkan ialah Ab Rauf di DUN Tanjung Bidara, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar (Rim) dan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (Merlimau).










