PH Kesempitan Masa, Kepercayaan Rakyat Makin Pudar – Rafizi

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) kini berdepan laluan sukar dan kesempitan masa untuk meraih kembali sokongan pengundi ekoran tahap kepercayaan rakyat yang dilihat semakin pudar terhadap gabungan itu.

​Pengasas bersama Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kegagalan menangani isu struktur utama seperti kos sara hidup dan kadar gaji yang tidak berkembang menjadi punca utama hakisan keyakinan berkenaan.

​Menurut beliau, pengundi kini mula mempersoalkan keupayaan gabungan politik sedia ada untuk membawa perubahan mampan sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

​”Pengundi tidak lagi melihat retorik politik sebagai jawapan. Masalah pokok seperti gaji pekerja muda yang tidak naik selepas sedekad bekerja memerlukan tindakan berani dan pengorbanan politik, bukannya sekadar pertukaran jenama kerajaan,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pengumuman 15 calon pilihan raya parti itu di sini malam tadi.

​Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa parti-parti dalam gabungan arus perdana kini terikat dengan pelbagai komitmen politik lama yang menyukarkan mereka untuk melaksanakan tindakan berani.

​”Sukar untuk kita lihat reformasi telus seperti pemotongan penjimatan perbelanjaan atau penstrukturan semula dasar dibuat secara drastik. Ini kerana kebanyakan parti tradisional sudah terperangkap dalam kitaran imbuhan dan pelaburan politik masing-masing,” katanya.

​Jelas beliau lagi, sentimen kekecewaan di peringkat akar umbi tidak boleh dipandang ringan kerana pengundi di lapangan semakin bijak menilai antara janji manis kempen dan realiti kehidupan seharian yang dihimpit tekanan ekonomi.

​Dalam pada itu, beliau mengesahkan parti Bersama mengambil pendekatan berani dengan tampil solo dan mengumumkan 15 calon awal bagi PRN Melaka sebagai tawaran alternatif yang segar kepada rakyat.

​”Kami tidak membawa nama besar atau figura politik veteran, sebaliknya mengetengahkan calon dalam kalangan rakyat biasa. Menerusi pendekatan kempen ‘merewang’ atau bergotong-royong, kita mahu membina semula hubungan organik dengan pengundi.

​”Mungkin ini laluan sukar bagi sebuah parti baharu, tetapi kita yakin rakyat Melaka dahagakan pilihan baharu yang berasaskan idea, kebertanggungjawaban dan integriti,” tegas beliau.

​Rafizi turut menambah bahawa pengumuman awal ini memberi ruang yang cukup kepada pengundi Melaka untuk menilai latar belakang serta keupayaan setiap calon sebelum hari pembuangan undi.

BBerkaitan

Latest articles