JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor mengesahkan akan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu membuat pengumuman sama.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan BN akan bertanding di semua kawasan DUN negeri berkenaan.
Menurut beliau, tindakan BN itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa parti berkenaan mahu bertembung secara terbuka dengan PH pada PRN nanti.
“Mereka sudah buat keputusan dan membuka laluan. Jadi PH Johor juga akan turun bertanding di semua 56 kerusi.
“Kita tidak akan berundur atau mengalah hanya kerana berdepan sekutu sendiri,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH, hari ini.
Aminolhuda turut menegaskan PH Johor bersedia menghadapi persaingan sengit pada PRN akan datang dan tidak bercadang untuk ‘merayu’ atau meminta ihsan dalam soal agihan kerusi.
Beliau berkata, keputusan BN mengumumkan lebih awal hasrat bertanding di semua kerusi menjadi sebab utama PH mengambil pendekatan sama.
“Ada yang persoalkan kenapa perlu lawan rakan sendiri, tetapi mereka yang mulakan dahulu. Jadi kita sambut cabaran itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau optimis PH masih mempunyai pengaruh kuat di Johor berdasarkan prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Katanya, PH pernah memenangi 18 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor pada 2018, jauh mengatasi BN yang ketika itu hanya memperoleh lapan kerusi.
Beliau percaya sokongan pengundi bandar serta kekuatan PH di peringkat Parlimen mampu menjadi pemangkin untuk gabungan itu kembali mencipta keputusan memberangsangkan pada PRN nanti.
Untuk rekod, BN membentuk kerajaan Johor selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN 2022. PH pula memperoleh 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
Penggal semasa DUN Johor dijadual berakhir pada April 2027 sekiranya tiada pembubaran dilakukan lebih awal.










