KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dengan alasan sistem itu mampu meningkatkan hasil negara untuk membiayai program yang memberi manfaat kepada rakyat.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata kerajaan memerlukan sumber kewangan yang kukuh untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan muda, keluarga berpendapatan rendah, pekerja p-hailing dan ibu tunggal.
“Kalau kerajaan tidak mempunyai wang, kita tidak boleh melaksanakan semua ini. Sebab itu Pemuda sekali lagi meminta supaya GST dilaksanakan semula bagi menggantikan SST,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Pemuda UMNO.
Menurut beliau, Pemuda UMNO bersedia menyokong pelaksanaan dasar yang baik untuk ekonomi negara tanpa mengira nama atau penjenamaan yang digunakan kerajaan.
Muhamad Akmal berkata GST sebelum ini menjadi antara isu yang memberi kesan kepada sokongan terhadap Barisan Nasional, namun pandangan terhadap sistem percukaian itu perlu dibuat berdasarkan keupayaannya menjana pendapatan negara dan bukan semata-mata pertimbangan politik.
Beliau turut merujuk pandangan pakar ekonomi yang menyifatkan GST sebagai sistem percukaian yang lebih baik untuk ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang pelaksanaan semula GST perlu diterjemahkan kepada bantuan dan perkhidmatan yang benar-benar dapat mengurangkan beban rakyat.
Antara inisiatif yang dicadangkan Pemuda UMNO ialah skim penyelenggaraan motosikal untuk pekerja p-hailing, peluasan Skim Sewa untuk Dimiliki, penambahan TASKA KEMAS di kawasan bandar serta bantuan perundangan kepada wanita yang “digantung tidak bertali”.
Menurutnya, UMNO perlu menawarkan dasar yang realistik, boleh dilaksanakan dan memberikan manfaat langsung kepada rakyat ketika mereka berdepan kenaikan kos sara hidup.
Pemuda UMNO turut menyatakan bahawa sekiranya cadangan itu tidak dilaksanakan oleh kerajaan semasa, pelaksanaan semula GST akan terus diperjuangkan jika UMNO kembali mengetuai kerajaan pada masa hadapan.










