Puteri UMNO Mahu 30% Calon Wanita, Bukan Sekadar Janji Politik

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO mahu sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wakil wanita dalam politik dan sektor strategik diterjemahkan sebagai tindakan sebenar, bukannya sekadar angka yang disebut dalam ucapan atau janji untuk menyedapkan hati.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sasaran 30 peratus itu perlu dilihat sebagai jumlah minimum bagi memastikan suara wanita, khususnya golongan muda, benar-benar mendapat tempat dalam proses membuat keputusan.

Katanya, tuntutan berkenaan bukan bermaksud Puteri mahu 30 peratus kerusi dikhaskan semata-mata untuk sayap itu, sebaliknya komposisi wanita daripada Puteri dan Wanita UMNO perlu mencapai angka tersebut ketika pemilihan calon.

“30 peratus ini adalah numbers. Kalau lebih, alhamdulillah. Tetapi kita kena letakkan paling minimum 30 peratus wajib ada di setiap sektor supaya mengimbangi antara politik.

“Kalau kita tengok Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan sebagainya masih rendah. Jadi siapa yang nak membawa suara wanita ke tahap lebih tinggi dan bercakap tentang wanita?” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2026, hari ini.

Nurul Amal berkata, suara wanita muda tidak boleh dipandang remeh kerana golongan berusia 40 tahun ke bawah berdepan pelbagai cabaran kehidupan yang memerlukan wakil yang benar-benar memahami realiti mereka.

Antaranya termasuk isu penjagaan anak, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keluarga yang menurutnya sering kelihatan kecil pada pandangan orang luar, tetapi menjadi cabaran besar kepada wanita yang melaluinya.

“Bagaimana kita melatih pemimpin? Kita berikan tanggungjawab. Bagaimana kita nak selesaikan masalah? Kita kena bawa masalah itu kepada pembuat keputusan,” katanya.

Beliau menegaskan, wanita muda perlu diberi ruang bukan sahaja dalam politik, malah pembuat dasar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana mereka mampu membawa suara generasi muda secara lebih dekat dan berkesan.

Menurutnya, kekurangan wakil wanita muda di peringkat ADUN dan Parlimen menyebabkan sebahagian isu yang dihadapi golongan itu tidak cukup diketengahkan.

“30 peratus ini bukan hanya diletakkan dalam ucapan dan bukan hanya dicakap-cakap untuk menyedapkan hati. Ia wajib diterjemahkan,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles