KUALA LUMPUR: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menghormati mandat yang diberi rakyat di Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk memihak kepada pembangkang bagi mengekalkan kuasa.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai sokongan rakyat dan pengundi yang mempercayai gabungan Kerajaan Perpaduan itu untuk kekal di Selangor, Negeri Sembilan xan Pulau Pinang.
“Keputusan ini adalah keputusan rakyat. Dalam sistem demokrasi kita harus hormat keputusan rakyat, hormat dalam erti kata bersedia menerima keputusan dengan baik.
“Kalau ada apa-apa permasalahan, perundangan dibuat mengikut perundangan dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Setelah bersungguh-sungguh dan suhunya agak panas ini waktunya rakyat dari semua parti menang atau kalah harus bersilaturahim menjaga keamanan negara dan tumpukan perhatian mengangkat martabat negara dan bela nasib rakyat. Itu tumpuan kita,” katanya dalam ucapan amanat selepas menyaksikan keputusan pilihan raya bagi enam buah negeri di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam ini.
Pengerusi PH itu juga memberi jaminan Kerajaan Perpaduan akan terus kekal selepas PRN ini, dan bekerja bersungguh-sungguh memberi khidmat kepada rakyat dan negara ini, demi merealisasikan hasrat untuk membangun Malaysia dan Ekonomi Madani sebagaimana yang diumumkan baru-baru ini.
“Insyaallah mulai Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi, lebih tekun dan keras supaya negara ini akan mencipta kejayaan yang dibanggakan,” ujarnya.