Peruntukan Selenggara Jalan Tidak Cukup, Hanya RM3 Bilion Daripada RM6 Bilion Diperlukan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun bagi penyelenggaraan jalan raya di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, namun hanya RM3 bilion diperuntukkan ketika ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kekurangan peruntukan menyebabkan kerja penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus mengehadkan usaha menaik taraf keseluruhan permukaan jalan yang rosak.

Menurutnya, kementerian hanya mampu memberi keutamaan kepada kawasan yang mengalami kerosakan, termasuk jalan berlubang, manakala lubang besar perlu dibaiki dalam tempoh kurang 24 jam.

“Penyelenggaraan ini sentiasa bermasalah tahun demi tahun. Walau bagaimanapun, kerajaan juga mempunyai masalah kewangan dan tidak dapat memberikan sepenuhnya peruntukan yang kita pohon.

“Kita berharap kerajaan akan menyediakan wang tambahan bagi memastikan penyelenggaraan dapat dilakukan dengan lebih sempurna,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mengenai kualiti turapan jalan di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang didakwa mengalami kerosakan semakin teruk dan boleh membahayakan pengguna, khususnya menjelang operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Mengulas keperluan menaik taraf jalan berhampiran stesen ECRL Kota Bharu di Tunjung, Ahmad berkata, kementerian memahami keperluan meningkatkan kapasiti jalan di kawasan berkenaan bagi menampung pertambahan trafik susulan pembangunan baharu.

Katanya, kawasan itu memerlukan perhatian memandangkan stesen ECRL berkenaan terletak berhampiran bangunan guna sama Wisma Persekutuan yang baharu, sekali gus berpotensi meningkatkan kesesakan apabila mula beroperasi.

“Saya kira kerajaan negeri juga tentu memahami perkara ini dan mungkin ada peruntukan tambahan untuk membaiki jalan di situ ataupun meningkatkan jalan pada satu ketika daripada dua lorong kepada empat lorong.

“Perancangan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri tentunya ada dan kita di peringkat pusat akan sentiasa membantu bagi melaksanakan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kementerian akan terus menilai kerosakan jalan berdasarkan penilaian objektif serta menggunakan bahan turapan yang berkualiti bagi memastikan kerja pembaikan dilaksanakan dengan baik.

Beliau turut menyifatkan ECRL sebagai projek yang mampu membawa perubahan besar kepada empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, apabila siap sepenuhnya.

BBerkaitan

Latest articles