KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kematian Teoh Beng Hock diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) selepas Peguam Negara memutuskan bukti sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu di mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas Peguam Negara meneliti keseluruhan fakta dan keterangan dalam kertas siasatan berkenaan.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan sewajarnya susulan arahan mahkamah pada November 2024 untuk melengkapkan siasatan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock.
“Kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Peguam Negara pada 14 Mei 2025.
“Setelah meneliti keseluruhan fakta dan keterangan dalam kertas siasatan, Peguam Negara telah memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘No Further Action’ (NFA) atas alasan bukti sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu di mahkamah mengikut standard pembuktian jenayah yang ditetapkan, iaitu ‘beyond reasonable doubt’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang meminta penjelasan mengapa dapatan siasatan PDRM berhubung kematian Teoh masih tidak didedahkan kepada keluarganya selepas siasatan selesai serta asas undang-undang bagi keputusan berkenaan.
Saifuddin berkata, keputusan kes itu sudah dimaklumkan kepada keluarga mendiang melalui surat kepada peguam mereka pada 20 Mei 2025.
Bagaimanapun, jawapan bertulis itu tidak memperincikan asas undang-undang khusus bagi keputusan untuk tidak mendedahkan keseluruhan dapatan siasatan kepada keluarga mendiang.
Teoh, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Selangor ketika itu, ditemukan meninggal dunia pada 2009 selepas hadir untuk memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Selangor.










