Pertahankan Kepentingan Bersama Kunci Kekal Keamanan, Kemerdekaan Negara

PUTRAJAYA: Mempertahankan kepentingan bersama tanpa mengira latar belakang kaum dan agama merupakan kunci utama dalam memelihara perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan negara.

​Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia, aspek keselamatan dan ketenteraman awam adalah contoh terbaik kepentingan bersama yang wajib dipertahankan oleh seluruh rakyat.

​”Sifat kewujudan negara kita adalah kehadiran pelbagai kaum, bangsa, agama dan budaya. Kunci kepada usaha kita memelihara perpaduan ialah mempertahankan kepentingan bersama.

​”Keamanan negara adalah kepentingan bersama, ia penting untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Dayak mahupun Kadazan. Apabila keamanan terganggu, tiada mana-mana kaum yang akan terkecuali daripada menerima kesannya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), pagi tadi.

​Saifuddin Nasution turut mengaitkan semangat kemerdekaan ke-69 negara dengan cabaran moden hari ini, di mana ancaman terhadap kedaulatan bukan lagi berbentuk penjajahan tentera fizikal, sebaliknya ancaman jenayah terancang, ketaksuban serta penyalahgunaan dadah.

​Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa perjuangan membanteras dadah amat kritikal demi memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang sihat, selamat dan berdaya saing.

​”Kita tidak mahu mewariskan kemerdekaan ini kepada generasi akan datang dalam keadaan negara yang terkesan dengan dadah.

“Dadah kini bukan lagi berasaskan tumbuhan (plant-based), sebaliknya 75 peratus yang terlibat di Malaysia adalah dadah sintetik.

​”Tanggungjawab kita hari ini bukan sekadar mengisi kemerdekaan, tetapi memastikan asas kestabilan dan keselamatan ini kekal kukuh untuk diwarisi. Sama ada negara kita akan jadi lebih baik atau lebih teruk dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, ia amat bergantung kepada apa yang kita lakukan pada hari ini,” jelasnya.

​Beliau menambah, kejayaan negara mengekalkan kedudukan ke-13 dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index) daripada 163 negara membuktikan kedudukan keselamatan Malaysia berada pada tahap yang membanggakan selepas 69 tahun merdeka.

​”Pencapaian ini bukan datang secara ganjil atau kebetulan, sebaliknya ia hasil kerja keras seluruh warga KDN yang berkhidmat di barisan hadapan demi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

​”Justeru, jangan sesekali kita membenarkan sebarang sentimen sempit merosakkan keamanan yang telah kita bina bersama sekian lama,” katanya lagi.

​Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh warga KDN dan masyarakat agar terus berganding bahu mempertahankan kestabilan negara demi kelangsungan masa depan generasi akan datang.

BBerkaitan

Latest articles