Perjanjian Lynas-AS Urusan Komersial, Bekalan Oksida Nadir Bumi Untuk R&D

KUALA LUMPUR: Perjanjian pembekalan oksida nadir bumi antara Lynas Rare Earths Ltd dan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) merupakan urusan komersial yang diuruskan secara langsung oleh subsidiarinya, Lynas LLC USA.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perjanjian itu bertujuan memudah cara pemuktamadan bekalan bahan bagi industri pembuatan moden yang menyokong usaha AS memperkukuh daya tahan bekalan nasional negara berkenaan.

Menurutnya, Lynas Malaysia memaklumkan bekalan oksida nadir bumi berkenaan adalah khusus untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pembuatan magnet kekal yang sedang diterokai AS.

“Kerjasama tersebut bertujuan untuk memudah cara pemuktamadan perjanjian bekalan bahan antara kedua-dua pihak bagi industri pembuatan moden yang menyokong usaha Kerajaan Amerika Syarikat dalam mencapai objektif daya tahan bekalan nasional mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai pendirian kerajaan berhubung perjanjian pembekalan oksida nadir bumi bernilai AS$96 juta antara Lynas dengan Pentagon, agensi Jabatan Pertahanan AS.

Johari berkata, operasi Lynas Malaysia dalam rantaian nilai industri unsur nadir bumi (REE) hanya melibatkan peringkat awal pemprosesan, iaitu mengasingkan bahan mentah yang dilombong di Australia untuk menghasilkan oksida nadir bumi (REO).

Katanya, REO yang diproses kemudian dibekalkan kepada pengeluar logam di luar negara sebelum disalurkan kepada pengeluar magnet.

“Magnet yang dihasilkan pula kemudiannya menjadi input kepada pembuat motor elektrik dan pengeluar peralatan asal (OEM),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi pemprosesan Lynas Malaysia mematuhi dasar semasa kerajaan termasuk keperluan lesen operasi dan lesen pengilang serta kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Menurutnya, syarikat itu turut tertakluk kepada komitmen pembangunan ekosistem segmen pertengahan dan hiliran yang mengutamakan pembangunan syarikat tempatan.

Mengulas pembangunan industri REE negara, Johari berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited memperkukuh segmen pertengahan dan hiliran bagi memaksimumkan nilai ekonomi sumber mineral tempatan.

Katanya, strategi kementerian tertumpu kepada usaha menarik pelaburan domestik dan antarabangsa dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi seperti magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik dan bateri.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju memberikan fleksibiliti terhadap dasar moratorium eksport bahan mentah REE bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) susulan kebimbangan pelabur terhadap jaminan bekalan bahan mentah yang stabil di dalam negara.

“Fleksibiliti pengeksportan ini adalah terhad untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sahaja.

“Tambahan juga, syarikat yang berkaitan hendaklah menunjukkan komitmen jelas mengenai kerjasama pembangunan fasiliti pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kelulusan eksport bahan mentah REE,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia perlu memanfaatkan kerjasama strategik dan pemindahan teknologi daripada negara yang berpengalaman dalam pemprosesan REE bagi membangunkan industri berkenaan.

Usaha itu bukan sahaja dapat mengukuhkan keupayaan tempatan daripada peringkat perlombongan hingga pembuatan produk akhir, malah berpotensi meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global mineral kritikal.

BBerkaitan

Latest articles