KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd. Nazifuddin mendakwa ramai penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan turun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai tindakan boikot selepas melihat tidak ada sebarang keadilan buat Datuk Seri Najib Razak.
Anak Najib berkata ramai penyokong Najib dan parti sendiri kecewa dengan perkembangan itu.
“Saya perhatikan dari media sosial dan juga pendapat kawan-kawan, memang ramai yang semakin kecewa sebab tidak kelihatan ada apa-apa hasil nyata terhadap memulangkan keadilan kepada Najib sejak Kerajaan Perpaduan terbentuk lapan bulan dahulu.
“Ia sama ada daripada segi pengampunan Najib atau pun beberapa daripada baki lapan kes mengarut terhadap Najib digugurkan. Malah kes audit 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang Najib menang tanpa diarah bela diri pun kerajaan sedang merayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau juga melihat semakin sukar untuk menyakinkan penyokong sebagaimana turut diluahkan adiknya, Nooryana Najwa dan ulasan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan minggu lepas.
“Ramai juga faham bahawa sokongan umum dan sokongan akar umbi terhadap DSN (Datuk Seri Najib) adalah besar dan mungkin melebihi sokongan parti parti.
“Jadi jika ada sebilangan penyokong DSN yang tidak keluar mengundi atau pun undi pihak lawan maka ia ada kesan yang mungkin signifikan dari segi sokongan orang Melayu kepada UMNO dan BN.
“Inilah sebab ada beberapa pemimpin-pemimpin pihak lawan kami dari parti Bersatu dan Pas turut menyuarakan sokongan mereka kebelakangan ini bagi pembebasan DSN dengan harapan bahawa penyokong-penyokong DSN akan memberi undi kepada mereka,” katanya lagi.
Namun dalam masa yang sama, Mohd. Nazifuddin percaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sedar kepada kemungkinan yang akan berlaku.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid adalah veteran politik yang sangat berpengalaman dan saya percaya mereka sedar perkara ini dan mungkin ada perancangan mereka masing-masing bagi mengatasi isu ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Nooryana berkata, pihaknya mengakui ramai penyokong Najib seolah-olah sudah hilang sabar malah mereka juga tidak mudah dipujuk lagi.
Situasi itu berlaku apabila Najib terus dibebani dengan kes-kes dan pertikaian baharu.
Antaranya kes cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri, dana RM114 juta yang telah pun diakui dimiliki UMNO dan kes sivil 1MDB.
Ahmad Zahid sebelum ini menggesa agar penyokong Najib supaya mengundi Kerajaan Perpaduan dalam PRN akan datang kerana ia juga sebagai usaha menyokong bekas perdana menteri berkenaan.