Penternak Ayam Rayu Bantuan Kerajaan Tangani Masalah Dalam Industri

KUALA LUMPUR: Penternak ayam di negara ini menyokong inisiatif sekuriti makanan dan ‘Jihad Inflasi’ yang bertujuan menyalurkan bekalan kepada pengguna secara secukupnya dengan harga yang berpatutan.

Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd, Mazlina Kamarudin dalam masa yang sama mengharapkan kerajaan turut mengambil maklum masalah dan kekangan yang masih dihadapi golongan penternak dalam mengekalkan perniagaan mereka.

“Kami pihak penternak amat menghargai dan akan berusaha membantu pihak kerajaan
dalam memastikan ‘Food Security’ untuk bekalan makanan dimasa hadapan terjamin, kami juga akan berusaha dan
membantu ‘Jihad Inflasi’ untuk kesejahteraan semua.

“Dalam masa yang sama, kami juga perlu menjaga ‘Bisness Sustainability’ kami, memastikan 420 orang terus dapat bekerja
dengan Ayam Bismi, juga memastikan 300 syarikat pemborong ayam segar dan 700 agent stokis mendapat bekalan ayam
halalan toyiban dengan harga berpatutan dari kami,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam masa yang sama, menurut Mazlina, penternak ayam menyedari masalah hari ini juga secara langsungnya berpunca daripada pandemik COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya sehingga ke hari ini.

Melihat rekod Malaysia yang sudah mempelopori bidang penternakan ayam secara besar-besaran semenjak 40 tahun yang lepas, menunjukkan Malaysia sudah
mencapai tahap kendiri atau ‘self sustain’ sehingga 106 peratus bekalan ayam pedaging, dan dalam masa yang sama masih mampu mengeksport sebanyak 5 peratus lagi.

Tegas Mazlina, situasi ini jelas menunjukkan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mencukupi untuk keperluan pengguna.

Di kala harga ayam dan pelbagai lagi barangan keperluan semasa mula menunjukkan penurunan di pasaran, Mazlina mengharapkan kerajaan mula memberi fokus membantu golongan penternak yang dibelenggu dengan masalah.

“Pandemik COVID-19 menjadi punca kepada permasalah yang kita hadapi, ia juga
mengajar kita tentang apa yang perlu diperbaiki untuk menjamin ‘Food Security’ kita.

“Kami penternak terlalu terhimpit dengan permasalahan ayam, masalah dalaman kami yang ramai tidak tahu seperti
cuaca yang tidak menentu, penyakit yang berbagai, kesukaran dengan PBT dalam menaik taraf ladang ternakan,
kekurangan pekerja, kenaikan kos ubatan ayam, kenaikan kos bahan binaan, kenaikan kos dedak, kenaikan kos anak
ayam, ditekan oleh orang tengah dan lain lain lagi.

“Kami juga terhimpit dengan permasalahan luaran seperti tuduhan
kami meyorok ayam, keuntungan yang melampau, terbabit dengan kartel, tidak prihatin dengan masalah inflasi Keluarga
Malaysia dan lain lain lagi tuduhan terhadap kami sebagai penternak.

“Kami ingin membantu pihak kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi dan kami mengharapkan pihak kerajaan
dapat juga memahami permasaalahan yang kami hadapi.

“Diharapkan pihak kerajaan dan pihak penternak dapat bekerja
bersama dalam memahami, mendalami dan mencari penyelesaian untuk memastikan ‘Food Security’ dan ‘Jihad Inflasi’
membuahkan hasil seperti yang diharapkan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles