KUALA LUMPUR: Kesetiaan ahli yang tidak pernah luntur sejak kejatuhan sokongan pada 2018 kini menjadi asas kebangkitan semula UMNO, sekali gus mengembalikan peranan parti itu sebagai antara penentu utama dalam landskap politik negara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kekuatan dalaman parti yang berpaksikan kesetiaan ahli dan pengalaman luas dalam mentadbir negara menjadi pemacu utama pemulihan UMNO selepas melalui fasa sukar beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, walaupun berdepan penyusutan pengaruh, UMNO tetap kekal relevan apabila terus terlibat dalam hampir setiap pembentukan kerajaan, termasuk dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Keadaan ini membuktikan UMNO masih menjadi elemen penting sebagai pelengkap dan pengimbang kepada kestabilan politik negara,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Beliau turut menekankan bahawa tidak ramai pemimpin daripada parti komponen lain dalam kerajaan mempunyai pengalaman pentadbiran setanding wakil UMNO, yang kini menerajui beberapa kementerian strategik dengan prestasi memberangsangkan.
Mohamad berkata, peranan UMNO dalam kerajaan bukan sekadar mengisi jawatan, sebaliknya parti itu bertindak sebagai pemacu kepada pelaksanaan agenda reformasi, pembangunan ekonomi serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pengalaman luas yang dimiliki ini membolehkan dasar kerajaan dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan UMNO masih bertahan kerana dua kekuatan utama iaitu pengalaman mengurus pelbagai krisis dan kesetiaan ahli yang kekal teguh walau diuji.
Katanya, kepimpinan parti kini memberi tumpuan untuk memulihkan kepercayaan rakyat dengan memanfaatkan pengalaman lampau dalam menghadapi cabaran.
“Walau apa jua rintangan, ahli UMNO tetap setia dan yakin dengan perjuangan parti. Atas asas inilah kita terus berusaha membina semula kekuatan parti,” katanya.
Tambah beliau, selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang, UMNO kini kembali memainkan peranan signifikan dalam menentukan hala tuju politik negara.
Dalam masa sama, beliau mengakui parti itu tidak terlepas daripada perbezaan pandangan dalaman, namun segala konflik berjaya ditangani dengan pendekatan berhemah demi memastikan kelangsungan perjuangan.
“Hari ini, UMNO berdiri sebagai sebuah parti yang semakin kukuh dan bersatu, bersedia mendepani cabaran masa depan,” katanya.










