JEMPOL, — Sekretariat Sokongan DYMM Tuanku YDPB bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat jelata menzahirkan sokongan penuh serta ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Dato’ Seri Megat D Shahriman bin Dato’ Zaharuddin berkata, keprihatinan DYMM Tuanku terhadap rakyat jelas dizahirkan menerusi penganjuran program yang menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta daripada 12 NGO, yang bersama-sama menunaikan Solat Jumaat di Masjid Tunku Mukhriz.
Menurut beliau, pertemuan tersebut menjadi bukti hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat, selain memperkukuh semangat perpaduan serta kasih sayang terhadap kepimpinan negeri.
Sementara itu, Ketua Wira PERKASA Malaysia, Bozz Jebat, menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam memberikan sokongan padu serta menzahirkan ikrar taat setia kepada DYMM Tuanku.
Sekretariat turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan masjid atas kerjasama menjayakan program berkenaan, yang dilihat sebagai simbol perpaduan antara rakyat, NGO dan institusi diraja di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak kepada baginda.
Baginda menzahirkan penghargaan itu ketika berkenan berjumpa orang ramai di pekarangan Masjid Tuanku Muhriz di sini.
Terdahulu, Tuanku Muhriz serta dua anakanda baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin bersama dengan kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat hajat di masjid berkenaan.
Selesai solat, baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak dan menghadiri majlis santapan sebelum menerima memorandum daripada Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profansi) Muhamad Kamel Yassin.
“Terima kasih,” titah baginda ringkas kepada kumpulan penyokong yang berkumpul di pekarangan masjid berkenaan sebelum berangkat pulang.










