Pentadbiran Shafie Di Sabah Dijangka Tumbang?

Jika Mei lalu rakyat Kedah menyaksikan peralihan pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir digantikan dengan Muhammad Sanusi Md Nor.

Ura-ura yang sama sedang hangat diperkatakan mengenai pentadbiran kerajaan negeri Sabah yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah.

The Star, hari ini melaporkan sumber dari PN seolah-olah mengesahkan pertukaran kerajaan yang akan berlaku dalam masa terdekat.

Apatah lagi dengan dua peristiwa ‘penting’ yang dapat dilihat berlaku sepanjang minggu ini, pertama membabitkan bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dibebaskan daripada kesemua 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan konsesi balak.

Kedua, pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony melibatkan dakwaan pengeluaran kontrak langsung bernilai RM1.5 bilion kepada tiga syarikat penyelenggaraan jalan raya.

Naib Presiden Warisan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Ramai mendakwa pembebasan Musa dan pendakwaan terhadap Peter sengaja dilakukan pada waktu yang sama.

Apatah lagi, Musa pernah mencabar pelantikan Shafie sebagai ketua menteri Sabah di mahkamah namun menyaksikan rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu, sekaligus mengesahkan Shafie dengan jawatan berkenaan.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua mempersoalkan ‘kebetulan’ ini dan mendakwa ia sebagai permainan politik.

“Ini semua berlaku apabila KM Sabah (Shafie) menentang penubuhan PN dan dikenali sebagai penyokong setia Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyokong pembangkang, dan dalam masa yang sama tuduhan terhadap Musa digugurkan.

Bagi Umno Sabah, menerusi Ketua Pemudanya, Abdul Aziz Julkarnain, tindakan mahkamah membebaskan Musa membuktikan penganiayaan politik terhadap bekas ketua menteri itu telah berakhir dan memberikan signal baru terhadap kepimpinan di Sabah.

Shafie juga mendakwa wujudnya strategi dari pihak tertentu untuk menjatuhkannya, termasuk urusan ‘membeli’ ahli parlimen dan ADUN Warisan untuk melengkapkan quota PN.

Meskipun Warisan cuba mengatakan sokongan ahli parlimen dan ADUN masih kuat terhadap parti dan pimpinan Shafie, namun masih ramai percaya wujudnya perubahan besar dalam kerajaan negeri Sabah.

Berita Berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Advertisment

Terkini