Pengundi Jadi Penentu Bajet 2023 Diluluskan

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kuasa pengundi pada 19 November ini menjadi penentu Bajet 2023 akan diluluskan untuk membolehkannya dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Malah kesemua perkara yang dicadangkan dalam Bajet 2023 itu akan dilaksanakan dengan syarat kerajaan di bawah pimpinannya dan parti yang diwakilinya iaitu UMNO dan Barisan Nasional menguasai Putrajaya.

Malah, Bajet 2023 yang dibentang pada 7 Oktober merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara yang mencakupi seluruh rakyat termasuk masyarakat bandar dan luar bandar, namun belanjawan itu belum diluluskan, justeru ia masih belum boleh dibelanjakan.

“Bajet cantik orang kampung semua dapat (manfaat), oleh kerana belum lulus duit tak boleh guna lagi.

“Jadi kuasa untuk gunakan bajet tersebut di tangan tuan puan… Pilih pada 19 haribulan (November), tuan-tuan akan menentukan bajet itu akan dibentang semula dan diluluskan untuk kepentingan tuan puan ,” kata beliau pada program ramah mesra bersama warga Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Kompleks Sukan Bandar Seri Bandi, hari ini.

Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 7 Oktober berjumlah RM372.3 bilion adalah peruntukan belanjawan terbesar dalam sejarah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Ismail Sabri berkata, sekiranya ‘orang lain’ memegang tampuk pemerintahan, projek-projek yang terkandung dalam Bajet 2023 itu belum tentu akan dilaksanakan.

“Dulu kita pernah alami keadaan apabila orang lain ambil alih kerajaan, banyak projek-projek besar dibatalkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles