SUNGAI PETANI: Negeri-negeri di Pantai Timur terus menjadi kawasan paling membimbangkan apabila merekodkan kadar penagihan pil kuda tertinggi di Malaysia, menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, situasi itu mencerminkan peningkatan ketara penggunaan dadah sintetik yang kini menjadi antara penyumbang terbesar kepada kes penagihan di seluruh negara.
Beliau berkata, kebanyakan penagih kini cenderung menggunakan dadah jenis amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi berbanding dadah tradisional.
“Jika dilihat kepada trend semasa, negeri-negeri Pantai Timur mencatatkan kadar pengambilan pil kuda yang paling tinggi. Bagaimanapun, kita tidak menafikan bahawa negeri-negeri di Pantai Barat juga merekodkan kadar penagihan yang membimbangkan.
“Di Pantai Timur, pil kuda dan syabu menjadi pilihan utama penagih berbanding heroin atau ganja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, hari ini.
Ruslin turut mendedahkan bahawa golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun merangkumi 84 peratus daripada keseluruhan penagih dadah sintetik di negara ini, sekali gus menunjukkan kumpulan produktif negara paling terdedah kepada ancaman penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, pengaruh rakan sebaya kekal menjadi faktor utama yang mendorong belia terjebak dengan dadah sintetik, selain masalah keluarga, tekanan emosi dan konflik sosial.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan golongan muda yang sepatutnya menjadi aset penting dalam pembangunan negara. Justeru, usaha pencegahan dan pendidikan perlu diperkasakan agar mereka tidak terus menjadi mangsa najis dadah,” katanya.










