‘Pengawal keselamatan’ bertopeng, bersenjata rompak kedai emas di Kajang

Kajang: Empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan, bertopeng serta bersarung tangan gelap telah merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.

“Kesemua suspek yang masuk ke premis sebuah kedai emas di tingkat satu bangunan tersebut terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas.

“Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis,” ujar timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Mohamad Nasir Drahman dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang meneliti pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan atau kematian.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768,” katanya.

Terdahulu media sosial digemparkan dengan penularan beberapa klip video memaparkan kejadian rompakan bersenjata itu petang tadi.

Video itu memaparkan sekumpulan perompak bertopen memecah kotak pameran kaca menggunakan tukul besi dan mengambil barangan kemas.

BBerkaitan

Latest articles