Pengangguran Kekal Terkawal, Kerajaan Yakin Gelombang Kehilangan Kerja Tidak Berpanjangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa trend kehilangan pekerjaan yang direkodkan sejak awal tahun ini masih berada pada tahap terkawal, dengan kadar pengangguran negara kekal di bawah paras empat peratus yang dianggap sebagai tahap guna tenaga penuh.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, meskipun berlaku sedikit peningkatan kadar pengangguran daripada 2.9 peratus pada Mac kepada tiga peratus pada April, keadaan semasa masih tidak membimbangkan dan berada dalam lingkungan yang stabil.

Menurut beliau, sehingga 22 Jun lalu, seramai 6,197 pekerja direkodkan kehilangan pekerjaan, lebih rendah berbanding 7,766 kes yang dicatatkan pada Mei.

“Berdasarkan trend semasa, kita menjangkakan situasi ini masih boleh dikawal walaupun kerajaan terus memantau perkembangan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah yang dilaksanakan kerajaan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani isu kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi syarikat akibat tekanan ekonomi global serta krisis tenaga.

Akmal memaklumkan pasaran buruh negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang setakat April lalu, manakala bilangan penduduk yang bekerja bertambah kepada 16.82 juta orang.

Dalam masa sama, usaha penempatan semula pekerja melalui platform MyFutureJobs turut mencatatkan peningkatan ketara. Sehingga 12 Jun lalu, jumlah penempatan pekerjaan melonjak 55 peratus daripada 12,119 orang pada April kepada 18,756 orang pada Mei.

“Secara keseluruhan, seramai 62,644 individu berjaya ditempatkan dalam pekerjaan baharu sepanjang tahun ini,” katanya.

Bagi membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan cabaran ekonomi, kerajaan telah meluluskan pembiayaan melebihi RM700 juta kepada lebih 1,000 syarikat setakat 18 Jun lalu, selain masih mempunyai baki kemudahan pembiayaan sekitar RM4 bilion untuk disalurkan.

Akmal turut menjelaskan bahawa kerajaan memperuntukkan RM710 juta menerusi inisiatif Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE) bagi melindungi pasaran pekerjaan serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja.

Daripada jumlah itu, lebih RM580 juta disediakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperkukuh Sistem Insurans Pekerjaan, manakala RM100 juta lagi disalurkan kepada HRD Corp bagi program latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan yang disokong oleh platform MyFutureJobs.

Mengulas cadangan pemberian insentif sementara kepada majikan bagi mengekalkan pekerja sedia ada, Akmal berkata analisis kerajaan mendapati lonjakan kehilangan pekerjaan yang berlaku pada Januari lalu, melibatkan lebih 10,000 pekerja, banyak dipengaruhi proses penyusunan semula operasi dan peralihan struktur perniagaan pada awal tahun.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan bukan sahaja meneliti jumlah pekerja yang diberhentikan, malah turut menilai kadar pengambilan pekerja baharu bagi menentukan sama ada sesuatu sektor berdepan kemerosotan jangka panjang atau hanya gangguan sementara.

“Setakat ini, walaupun terdapat gangguan dalam beberapa sektor, ia lebih bersifat sementara dan tidak menunjukkan petanda pengecilan operasi secara berterusan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles