SEREMBAN: Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim menerima dengan lapang dada berhubung keputusan Istana Negeri Sembilan yang menarik balik dua darjah kebesaran Negeri Sembilan yang dikurniakan kepada beliau sebelum ini.
Menurut Mohd Rais, penarikan balik darjah kebesaran tersebut diterima mengikut falsafah hidup serta adat pusingan roda kehidupan.
”Saya menerima berita penarikan bintang kehormatan Datuk Seri Utama serta Datuk Seri dari Istana dengan lapang dada dan falsafah hidup yang biasa. Musim bertukar, anugerah diterima… ada masa diterima, ada masa diambil balik.
”Ini bukanlah anugerah yang disampaikan oleh pihak Tuanku yang bertakhta pada hari ini.
“Oleh itu, notis yang disebarkan pada 30 Julai itu saya terima dengan perasaan dan falsafah pesaka bergilir, musim bertukar,” katanya menerusi satu hantaran video maklum balas pada Khamis.
Sebelum ini, Pendaftar Darjah Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan telah menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) yang diterima pada tahun 2001 dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S) (1979) daripada Mohd Rais berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Istana tersebut, keputusan berkenaan dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Mohd Rais menjelaskan bahawa kurniaan darjah kebesaran berkenaan dianugerahkan oleh Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman atas khidmat bakti beliau sewaktu memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, beliau menggesa agar pelbagai pihak tidak mempolitikkan keputusan tersebut atau menjadikannya sebagai rejaman sentimen menjelang musim pilihan raya negeri pada 1 Ogos ini.
”Saya mohon agar pihak-pihak tidak menganggap ini sebagai satu rejaman semasa pilihan raya sedang berlaku dan hendaknya tidak diambil sebagai isu untuk mengenakan mana-mana pihak.
”Saya berpendapat ini perkara biasa kerana bukan saya sahaja yang menerima nasib seperti ini, tetapi tokoh-tokoh lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Almarhum Tan Sri Othman Saat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah mengalami situasi sama,” katanya.
Tambah beliau lagi, persoalan mengenai punca atau sebab musabab tindakan penarikan itu dilakukan adalah lebih wajar diserahkan kepada pihak yang berkaitan untuk memberikan penjelasan.










