Penanda Kiblat Di Gunung Kinabalu Bukan Hak Eksklusif Umat Islam – Mufti Sabah

KOTA KINABALU: Pemasangan penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu bukan bertujuan memberikan keistimewaan kepada mana-mana agama, sebaliknya memenuhi keperluan pendaki Muslim untuk menentukan arah Kaabah ketika menunaikan solat.

Mufti Sabah, Datuk Dr Bungsu@Aziz Jaafar, berkata kemudahan itu tidak menghalang penganut agama lain daripada berdoa atau mengamalkan kepercayaan masing-masing sepanjang berada di gunung berkenaan.

Beliau menegaskan, tiada mana-mana agama diberikan hak eksklusif di Gunung Kinabalu, malah sebarang keperluan berkaitan aktiviti keagamaan boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk pertimbangan.

Katanya, pemasangan penanda kiblat juga perlu melalui proses pengesahan badan berautoriti, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau jabatan agama berkaitan, bagi memastikan arah yang ditetapkan tepat dan sahih.

“Kewujudan penanda kiblat sama sekali tidak menghalang penganut agama lain untuk berdoa atau mengamalkan kepercayaan masing-masing di gunung itu.

“Tiada istilah keistimewaan eksklusif kepada satu-satu agama di Gunung Kinabalu. Sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti keagamaan bergantung kepada keperluan serta kelulusan daripada pihak berautoriti, iaitu Taman-Taman Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Bungsu@Aziz berkata, penganut agama lain yang memerlukan kemudahan tertentu juga boleh mengemukakan cadangan kepada pengurusan Taman-Taman Sabah untuk dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi serta peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, prinsip keadilan tidak semestinya menuntut semua bentuk kemudahan agama disediakan secara seragam, sebaliknya perlu berlandaskan penghormatan serta layanan saksama terhadap setiap pengunjung.

Media sebelum ini melaporkan penanda arah kiblat yang disemak dan disahkan Jabatan Mufti Negeri Sabah dipasang di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu bagi memudahkan pendaki Muslim menunaikan ibadat.

Inisiatif itu dilaksanakan sempena program pendakian Gunung Kinabalu yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, bersama warga agensi berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles