Pemimpin Politik Perlu Contohi Keperibadian Salahuddin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap pemimpin, terutama mereka di dalam kerajaan untuk mengamalkan sifat terpuji dan kebaikan yang dilakukan Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.

Anwar memuji Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu sebagai pemimpin politik yang sentiasa konsisten dalam perjuangan membela kebajikan rakyat khususnya melibatkan kos sara hidup.

Bukan itu sahaja, Ahli Parlimen Pulai itu sentiasa berusaha kaedah terbaik dalam mengurangkan beban rakyat.

“Saya datang dengan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) mewakili keluarga dan kerajaan untuk ucapkan takziah kepada pemergian seorang sahabat, pejuang yang telah bersama puluhan tahun.

“Satu kehilangan besar buat negara kerana allahyarham sinonim dengan rahmah, itu sifat dia yang konsisten dalam tugas. Beliau tak pernah terlepas cari jalan dan kaedah untuk ringankan beban rakyat.

“Saya harap semangat dan dedikasi beliau menjadi tauladan, terutamanya sifat penyayang dan rahmah yang telah beliau tonjolkan sehingga akhir hayat,” katanya selepas mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, hari ini.

Tambah Anwar, kehadirannya turut bertujuan menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada keluarga Allahyarham secara peribadi.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang ditemui pemberita juga menyifatkan pemergian allahyarham merupakan kehilangan besar buat rakyat Johor khususnya penduduk di kawasan iaitu Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

BBerkaitan

Latest articles