Pembaharuan Bagi Bajet 2024, Termasuk Prinsip Cukai Tak Bebankan Rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memahami cabaran ekonomi pada masa kini.

Sehubungan itu apa jua pembaharuan dalam percukaian negara harus dilihat mesra kepada masyarakat awam dan komuniti perniagaan.

Menyentuh mengenai Belanjawan 2024, Anwar memberitahu kerajaan turut melakukan perubahan dalam pembentangan akan datang, termasuk prinsip cukai yang tidak membebankan rakyat.

“Sebab kita mahu pastikan pelabur sama ada luar atau dalam negara dapat melihat peluang untuk terlibat dalam dunia perniagaan seperti satu penghargaan kepada mereka.

“Pada masa sama kita ingin mereka rasa semangat kekitaan dan bertanggungjawab iaitu sama dengan konsep amanah yang dipikul terhadap keluarga, masyarakat dan negara,” kata Anwar dalam ucapan perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan anjuran bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), hari ini.

Jelas Anwar, perubahan itu bertepatan dengan Ekonomi Madani yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini dalam memperkasakan rakyat terutama golongan miskin dan terpinggir.

Begitu juga dengan LHDN yang merupakan memegang amanah dan tanggungjawab yang besar dalam mengutip cukai dan memastikan kewangan kerajaan tidak disalahgunakan.

Perdana Menteri berkata, beliau terbuka untuk mendengar dan menerima sebarang pandangan dan pendapat daripada LHDN dan CTIM berkaitan reformasi percukaian negara.

Katanya, kaedah percukaian yang lebih canggih, lebih telus dan terikat kepada tatakelola yang baik untuk mengelak sebarang salah laku dan ketirisan akan menjadi pendekatan utama.

“Bagi negara kita, dasar kita adalah untuk mencukai apabila ia benar-benar perlu dan tidak boleh dianggap sebagai beban oleh pembayar cukai.

“Hasrat kami adalah untuk menggalakkan mereka menjadi lebih kondusif dan menyumbang kepada negara.

“Tetapi untuk pertumbuhan ekonomi yang bercita-cita tinggi dan menyumbang kepada kebajikan mereka yang lemah dan terpinggir institusi cukai dan agensi mestilah sangat cekap, bersih dan berkesan,” tegas beliau.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDM Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Presiden CTIM, Chow Chee Yen.

BBerkaitan

Latest articles