Pelaksanaan Biodiesel B15 Masuk Fasa Baharu Industri Tenaga Negara

PUCHONG: Kerajaan yakin pelaksanaan Biodiesel B15 yang mula dilaksanakan secara rasmi pada 1 Jun lalu mampu dilaksanakan dengan lancar susulan kesiapsiagaan infrastruktur pengadunan dan pengedaran biodiesel di seluruh negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan B15 merupakan langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara selain mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

Menurut beliau, pelaksanaan tersebut turut menyokong agenda kelestarian negara melalui penggunaan tenaga alternatif yang lebih mampan selain memperkukuh industri sawit tempatan.

“Pelaksanaan Biodiesel B15 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh industri sawit negara menerusi peningkatan penggunaan domestik minyak sawit serta pembangunan sektor biobahan api yang lebih progresif dan berdaya saing,” katanya ketika lawatan media ke Terminal Pengedaran Biodiesel di Klang Valley Distribution Terminal (KVDT), Puchong, pada Rabu.

Menurut beliau, Program Biodiesel Negara kini disokong oleh ekosistem menyeluruh melibatkan 452 kilang minyak sawit, 54 kilang penapisan minyak sawit, 19 loji biodiesel serta 34 depoh pengadunan biodiesel sebelum diedarkan ke lebih 4,400 stesen minyak di seluruh negara.

Katanya, infrastruktur lengkap itu membuktikan Malaysia mempunyai kapasiti, kepakaran serta keupayaan logistik yang kukuh bagi melaksanakan peningkatan adunan biodiesel secara berperingkat.

“Kehadiran media ke fasiliti ini penting bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai proses pengadunan, pengedaran serta kesiapsiagaan pelaksanaan B15 di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KVDT memainkan peranan penting sebagai fasiliti strategik penyimpanan dan pengedaran petroleum negara khususnya di kawasan Lembah Klang serta menjadi antara pusat pengadunan biodiesel utama negara.

Beliau turut berharap lawatan berkenaan dapat membantu masyarakat memahami pelaksanaan sebenar Biodiesel B15 berdasarkan fakta, proses dan operasi di lapangan.

BBerkaitan

Latest articles