63.2 Peratus Pesakit Mental Kembali Dirawat Dalam Tempoh Tiga Bulan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 63.2 peratus kadar kemasukan semula pesakit psikiatri ke hospital direkodkan di peringkat nasional pada 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengukur keberhasilan rawatan kesihatan mental antaranya menerusi kadar kemasukan semula pesakit psikiatri dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, KKM menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kadar kemasukan semula pesakit dalam tempoh tiga bulan pada paras kurang daripada 25 peratus bermula 2025.

“Pesakit yang menerima rawatan psikiatri berkualiti tinggi tidak sepatutnya kembali untuk kemasukan semula dalam tempoh tiga bulan.

“Maka KKM telah menetapkan KPI kadar kemasukan semula pesakit dalam tempoh tiga bulan kurang daripada 25 peratus bermula tahun 2025,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dzulkefly berkata, rawatan kesihatan mental bukan hanya bertujuan mengurangkan gejala penyakit pada fasa akut, sebaliknya membantu pesakit kembali menjalani kehidupan harian bersama keluarga dan bekerja apabila tiba masanya.

Katanya, menerusi Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari), pesakit turut diberikan sokongan pemulihan, psikososial serta bantuan untuk kembali bekerja dan berdikari.

“Pada masa ini kita mempunyai kira-kira 39 pusat Mentari di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM turut menetapkan sekurang-kurangnya 60 peratus pesakit yang mengikuti program sokongan pekerjaan dapat kekal bekerja dalam pasaran terbuka.

Menurutnya, pencapaian nasional bagi indikator berkenaan menunjukkan peningkatan daripada 72 peratus pada 2023 kepada 72.8 peratus pada 2024 dan 75 peratus pada 2025.

“Mutakhir adalah 76 peratus sehingga Jun 2026,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Adnan mengenai penggunaan kanabis secara terkawal bagi tujuan perubatan, Dzulkefly berkata, KKM membenarkan penyelidikan dan percubaan klinikal berkaitan bahan berkenaan tertakluk kepada undang-undang ditetapkan.

Beliau berkata, penggunaan kanabis tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya, Akta Racun dan Akta Jualan Dadah 1952.

“Dari sudut polisi, memang kita mempunyai satu polisi untuk mengizinkan penyelidikan, penyelidikan klinikal kerana kita mengambil sikap bahawa sekiranya berasaskan bukti, kita akan mengizinkannya,” katanya.

Tambahnya, KKM juga pernah memberikan pendaftaran kepada penyediaan kanabis bernama Sativex menerusi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di bawah Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Bagaimanapun, Dzulkefly menegaskan KKM tidak akan mengambil pendekatan mudah untuk menyahjenayahkan kanabis secara umum kerana aspek kemudaratan kepada rakyat dan masyarakat perlu diberi keutamaan.

BBerkaitan

Latest articles