Kerajaan Ambil Kira Larangan Dana Asing Kepada Parti Politik

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil kira cadangan melarang penerimaan sumbangan asing oleh parti politik menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang sedang dalam proses penggubalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu turut merangkumi dana yang disalurkan atau diuruskan melalui pihak ketiga supaya tertakluk kepada kawal selia sama.

Menurutnya, skop RUU berkenaan dicadangkan terpakai di peringkat Persekutuan dan negeri serta sepanjang keseluruhan kitaran politik, iaitu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

“Skop ini dicadangkan bagi memastikan sumber dan penggunaan dana politik dapat dipantau dengan berkesan.

“Dari aspek ketelusan, RUU ini dicadangkan mewajibkan penerimaan dan penggunaan dana politik melalui saluran rasmi yang boleh direkodkan, dijejaki dan diaudit,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad yang meminta kerajaan menyatakan mekanisme kerajaan untuk menghalang dana asing disalurkan melalui NGO atau pihak ketiga bagi membiayai kempen atau aktiviti politik yang memanfaatkan parti atau calon tertentu.

Idris turut meminta penjelasan sama ada RUU Pendanaan Politik akan mewajibkan pendedahan sumber dana dan perbelanjaan pihak berkenaan.

Azalina berkata, Kerajaan MADANI kekal komited memperkenalkan RUU Pendanaan Politik seperti digariskan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Katanya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengambil alih pelaksanaan kajian berhubung RUU itu sejak Mei 2023, manakala skop dasarnya dipersetujui pada 8 September 2023 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berkaitan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Cadangan RUU ini bertujuan mewujudkan kerangka pendanaan politik yang lebih jelas, telus dan berakauntabiliti.

“Ini selaras dengan dapatan kajian yang menunjukkan 88.4 peratus daripada 3,422 responden serta sesi libat urus bersama 1,544 pihak berkepentingan menyokong keperluan undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik,” katanya.

Beliau berkata, BHEUU, JPM turut menganjurkan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 pada 8 September lalu dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Katanya, konvensyen itu bertujuan membentangkan dapatan kajian serta mendapatkan pandangan lanjut daripada pihak berkepentingan.

“Berdasarkan dapatan kajian, sesi libat urus dan proses triangulasi yang dilaksanakan, beberapa syor dasar telah disediakan untuk pertimbangan dalam penggubalan RUU Pendanaan Politik.

“Ia meliputi antara lain skop pemakaian undang-undang, sumber dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana, serta pelaporan, audit, ketelusan, kesalahan dan hukuman,” katanya.

Azalina berkata, aspek ketelusan turut dicadangkan melibatkan pelaporan berkala, pengemukaan laporan kewangan yang diaudit secara tahunan serta pendedahan maklumat dana politik kepada awam.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tertakluk kepada butiran dan parameter yang akan dimuktamadkan dalam proses penggubalan RUU berkenaan.

“Syor-syor dasar yang telah dikenal pasti ini seterusnya akan dibentangkan kepada JKPK dalam masa terdekat untuk penelitian dan mendapatkan maklum balas lanjut, sebelum dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles