Kontrak Pembekal Baja Padi 3 Di MADA Dibatalkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan membatalkan kontrak syarikat pembekal Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) susulan kegagalan berterusan mematuhi jadual dan jumlah pembekalan yang ditetapkan kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kelewatan pembekalan dan pengagihan baja berkenaan berpunca daripada kegagalan syarikat pembekal mematuhi jadual pembekalan yang dipersetujui bersama MADA.

Menurutnya, kegagalan itu disebabkan kapasiti kilang yang terhad dan tidak mampu menampung jumlah pembekalan dipersetujui.

“Selain itu, pembekalan telah terhenti beberapa kali disebabkan masalah teknikal di kilang dan isu kualiti yang tidak memenuhi parameter fizikal yang ditetapkan.

“Memandangkan perkara ini melibatkan pentadbiran kontrak, ia perlu ditangani secara berhati-hati,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad yang meminta penjelasan mengenai punca sebenar kelewatan pembekalan dan pengagihan Baja Padi 3 kepada pesawah di kawasan MADA serta tindakan terhadap syarikat pembekal yang gagal memenuhi jadual dan jumlah bekalan ditetapkan dalam kontrak.

Menurutnya, susulan ketidakpatuhan berterusan syarikat pembekal terhadap obligasi kontrak, kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) mengeluarkan arahan supaya kontrak sedia ada syarikat berkenaan dibatalkan.

“Bagi memastikan kepentingan pesawah tidak terjejas, kerajaan juga memberikan kelulusan khas untuk pelantikan pembekal alternatif bagi memastikan baki pembekalan baja tersebut dilaksanakan dengan segera.

“Pengedaran baja kepada pesawah di kawasan MADA juga telah diselesaikan sepenuhnya pada 24 September 2026,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perkara berkenaan dipandang serius dan penilaian lebih teliti akan dilaksanakan pada masa akan datang bagi memastikan isu sama tidak berulang.

“Kerajaan juga akan terus memperkukuh pemantauan bagi memastikan kelewatan tidak berulang dan kepentingan pesawah sentiasa dipelihara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles