Pelabur asing lupus RM659.7j minggu lalu

Pelabur asing melupuskan sejumlah RM659.7 juta ekuiti tempatan minggu lalu – jualan terbesar dalam tempoh lapan minggu.

MIDF Research, MIDF Amanah Investment Bank Berhad berkata, jualan minggu lalu bermula pada hari Selasa pada jumlah RM70.9 juta, seiring dengan penurunan ringgit sebanyak 0.7% berbanding dolar Amerika Syarikat berikutan kebimbangan penularan wabak koronavirus.

Kaunter-kaunter berkaitan pengembaraan seperti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan AirAsia Group Berhad, masing-masing susut 6.7% dan 3.8% pada hari sama.

Menurutnya, aktiviti jualan terus melonjak kepada RM234.1 juta pada hari Rabu berikutan jumlah kes jangkitan wabak itu mencecah 6,000.

Aliran keluar besar-besaran turut berlaku di Thailand dan India, kata firma penyelidikan itu.

“Pelabur-pelabur antarabangsa terus melakukan jualan bagi hari ketiga berturut-turut dengan melupuskan sejumlah RM104.2 juta pada hari Khamis meskipun Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah,” katanya.

MIDF Research menambah, pengekalan itu memang sudah dijangkakan selepa Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell memberi amaran tentang ketidaktentuan polisi perdagangan dan penularan koronavirus.

Hari Jumaat terus menyaksikan aliran keluar oleh pelabur luar pesisir dengan jumlah pelupusan sebanyak RM250.5 juta, susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia tentang wabak berkenaan.

FBMKLCI juga menyusut 0.9% kepada 1,5311.1 mata – penutup terendah lebih daripada lima tahun.

Firma penyelidikan itu berkata, sepanjang Januari ini, pelabur luar telah menjual sebanyak 138.3 juta.

Sebagai perbanding kepada tiga pasaran yang dijejaki, Malaysia telah merekodkan aliran masuk asing paling rendah tahun ke tahun selepas Thailand dan Filipina.

“Dari segi penyertaan, nilai purata dagangan harian pelabur asing meningkat sebanyak 67.2% tahun ke tahun sepanjang minggu meskipun minggu yang pendek.

“Sebagai tambahan, ADTV telah mencecah paras baik kepada RM1 bilion kepada RM1.13 bilion,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img