KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab terhadap pengurusan dan penyelenggaraan pokok di tepi jalan dalam kawasan pentadbiran masing-masing, termasuk kerja menanam, memangkas serta menebang pokok yang berisiko.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tanggungjawab itu diperuntukkan di bawah Seksyen 101(b) Akta Kerajaan Tempatan yang memberikan kuasa kepada PBT untuk menguruskan pokok-pokok dalam kawasan di bawah bidang kuasa mereka.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan terpakai kepada semua pokok yang berada dalam kawasan PBT, sekali gus menjelaskan pihak yang bertanggungjawab terhadap aspek penyelenggaraan dan keselamatan pokok di lokasi tersebut.
Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama syarikat konsesi penyelenggaraan memperkukuhkan kerjasama dengan pakar bertauliah bagi menjalankan penilaian teknikal secara berkala terhadap pokok matang dan cerun di sepanjang jalan persekutuan.
Gesaan berkenaan dibuat selepas tragedi pokok tumbang di Laluan FT68 Jalan Lama Bentong–Kuala Lumpur, tengah hari semalam, yang mengorbankan empat sekeluarga apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, maut bersama isterinya, seorang anak serta adik iparnya.
Mengulas lanjut, Ahmad turut merujuk keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang memerintahkan Majlis Bandaraya Seremban membayar pampasan kepada seorang mangsa, Iqmal Izzudeen, yang dihempap pokok tumbang, sebagai contoh implikasi undang-undang terhadap kegagalan penyelenggaraan pokok oleh PBT.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa JKR bersama syarikat konsesi sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama dengan PBT dalam menangani isu pokok berisiko di sepanjang jalan persekutuan demi meningkatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya.










